Siapakah Diri Anda Yang Sebenarnya?

Friday, 17 February 2012 0 comments

Siapakah orang yang sombong?

Orang yang sombong ialah orang yang diberi penghidupan tetapi tidak mahu sujud pada yang menjadikan kehidupan itu iaitu Allah SWT, Tuhan sekelian alam. Maka bertasbihlah segala apa yang ada di bumi dan langit pada Tuhan Nya kecuali jin dan manusia yang sombong diri.

Siapakah orang yang telah mati hatinya?

Orang yang telah mati hatinya adalah orang yang diberi petunjuk melalui ayat-ayat al-Quran, hadis dan cerita-cerita kebaikan namun merasa tidak ada apa-apa kesan di dalam jiwa untuk bertaubat.

Siapakah orang yang dungu kepala otaknya?


Orang yang dungu kepala otaknya adalah orang yang tidak mahu lakukan ibadat tapi menyangka bahawa Allah tidak akan menyiksanya dengan kelalaiannya itu dan sering merasa tenang dengan kemaksiatannya.

Siapakah orang yang bakhil?

Orang yang bakhil lagi kedekut adalah orang yang berat lidahnya untuk membaca selawat ke atas Junjungan Rasulullah SAW.

Siapakah orang yang buta?

Orang yang buta adalah orang yang tidak mahu membaca dan meneliti akan kebesaran al-Quran dan tidak mahu mengambil pelajaran daripadanya.

Siapakah orang yang tuli?


Orang yang tuli adalah orang yang diberi nasihat dan pengajaran yang baik namun tidak diendahkannya.

Siapakah orang yang sibuk?

Orang yang sibuk adalah orang yang tidak mengambil berat akan waktu solatnya seolah-olah ia mempunyai kerajaan seperti kerajaan Nabi Sulaiman a.s.

Siapakah orang yang manis senyumnya?


Orang yang mempunyai senyuman yang manis adalah orang yang ditimpa musibah lalu dia kata "Inna lillahi wainna illaihi rajjiuun" lalu sambil berkata, "Ya Allah aku redha dengan ketentuan Mu ini" sambil mengukir senyuman.

Siapakah orang yang menangis air mata mutiara?


Orang yang menangis air mata mutiara adalah orang-orang yang sedang bersendiri lalu mengingat akan kebesaran Allah dan menyesal akan dosa-dosanya lalu mengalir air matanya.


0 comments:

Post a Comment

 

©Copyright 2011-2012 Majlis Pelajar Islam (MPI) | designed by Abu Hassan